Menu Bar

Pantai Rantau Abang

Pantai Rantau Abang terletak di tepi jalan utama kira-kira 19 kilometer dari Kuala Dungun dan 60 kilometer dari bandaraya K. Terengganu. Pantai Rantau Abang suatu ketika dahulu amat terkenal bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara. Ramai pelancong-pelancong tempatan dan pelancong-pelancong asing datang ke sini untuk melihat satu spesis yang jarang dilihat dan ditemui iaitu PENYU bertelur. Aktiviti ini biasanya berlaku pada lewat malam atau awal pagi.

Dalam tahun 50an, terdapat kira-kira 11,000 ekor penyu mendarat di sini untuk bertelur. Tetapi pada tahun 1999 hanya terdapat kira-kira 10 ekor penyu sahaja yang bertelur di sini. Antara beberapa aktor yang menyebabkan kurangnya penyu bertelur di sini ialah ia sering diganggu ketika bertelur misalnya dengan menaiki belakang penyu, menyululuh mata penyu, mengetuk-ngetuk badan penyu dengan kayu dan sebagainya.

Selain dari itu, ada juga laporan yang menyatakan antara penyebab penyu tidak lagi datang bertelur di sini ialah kerana pantai ini tidak dijaga dengan baik sehingga menyebabkan pantainya tercemar dengan sampah sarap dan juga kayu-kayu hanyut yang dibiarkan di tepi panatai.

20 tahun lalu saya sendiri beberapa kali pernah datang ke sini untuk melihat penyu bertelur tetapi sangat mengecewakan kerana tidak pernah sekali pun dapat melihat penyu mendarat di sini. Ketika itu ramai juga pengunjung-pengunjung datang untuk melihat penyu bertelur dan berjaga dari lewat tengah malam sehingga subuh. Ketika itu pantai ini juga telah dijaga dan dipajak maknanya tiada sesiapa boleh mengganggu atau mengambil telur penyu dengan sewenang-wenangnya.

Akibat dari itu ekonomi di sini juga turut musnah. Gerai-gerai makan tidak lagi dikunjungi dan chalet juga terbengkalai begitu sahaja. Semoga satu hari nanti Pantai Rantau Abang akan kembali ceria dengan pengunjung-pengunjung yang tahu menghayati keindahan alam sekitar.


Pintu gerbang yang menandakan sempadan daerah Dungun dan Marang.



Replika penyu yang terdapat berhampiran dengan pintu gerbang Rantau Abang


Pekan Rantau Abang dan jalan persekutuan Kuantan-K. Terengganu


Jalan menuju ke pantai dengan kereta


Pantai Rantau Abang dan chalet yang terbiar tidak dijaga


Kelihatan bot-bot fibre nelayan di tepi pantai Rantau Abang